Friday, June 23, 2006

Ikan Singgang Paloh

Seperti biasa apabila balik kerja hari dah pun petang, setelah keluarkan ikan dari freezer dan sementara ikan yang membeku itu cair, saya membersihkan halaman belakang rumah setelah kerja-kerja potong rumput telah disempurnakan oleh sepupu saya Marzoqee petang semalam.

Suami saya, mengutip beberapa helai pucuk ubi dan saya minta dia tolong ambil lengkuas untuk masak ikan singgang.

Pucuk ubi yang dipungut tadi dicelur untuk dicicah bersama budu, dan tidak ketinggalan ikan panggang tawar dipanggang dalam pan atas dapur gas. Ikan panggang tawar ni bagi menambahkan selera kami sekeluarga menikmati hidangan petang tadi.

Maklumlah keluarga kami berasal dari keturunan orang kelaut (nelayan) dan amat menggemari masakan ikan singgang yang sebegini. Petang ini saya gunakan ikan selayang, biasanya ikan aya. Di bawah ini saya coretkan sedikit bahan untuk masakan ikan singgang keluarga kami.

Bahan-bahannya:

4 ekor ikan selayang – saiz besar

1 inci lengkuas – hiris nipis
1 inci kunyit basah – hiris nipis
1 ulas bawang putih
2 keping asam keping
4 gelas air

Garam secukup rasa

Caranya :-

Lengkuas, kunyit, bawang putih dan asam keping dan masukkan air. Kemudian dimasakkan hingga mendidih lalu dimasukkan ikan dan perasa. Biar ianya mendidih beberapa kali sehingga betul-betul masak.

Kalau suka dan kalau ada boleh masukkan beberapa biji bendi (jangan dipotong) atau kacang panjang.

Okeylah – selamat mencuba resepi ini – pasti best tau!!! Bila makan tak sedar mak mertua lalu…hee..hee

Jangan lupa budu dengan limau nipis yang diperah dan juga cili padi. Kena pulak dengan sedikit tempoyak...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...