Friday, September 19, 2014

ENCIK ABAS DEMAM

Encik Abas Demam adalah sejenis kuih yang unik ,diperbuat daripada sagu berkuah santan.

Menurut cerita, kuih ini dikenali sebagai Encik Abas Demam kononnya adalah gurauan kepada  seorang bernama Abas yang berasal dari Sarawak dan tinggal menetap di Kampung Maras. Ketika kenduri makan laksa diadakan di kampong tersebut, Encik Abas telah jatuh demam, dan isteri Encik Abas telah menasihatnya untuk tidak memakan laksa dengan alasan dalam keadaan demam memakan laksa boleh menyebabkan badan orang yang demam akan bertambah sakit.

Untuk tidak mengecewakan perasaan Encik Abas yang sedang demam; isterinya telah memasak sagu diganti laksa untuk dimakan bersama kuah laksa. Apabila laksa telah habis dan dengan kuah yang masih ada orang-orang kampong yang datang kemudian telah dihidangkan dengan sagu yang dimasak untuk Encik Abas itu.  Kesedapan sagu apabila dimakan dengan kuah laksa telah menjadi bualan dan sejak hari itu kuih itu dipanggil dengan nama Encik Abas Demam.

Ada juga mengatakan bentuk kuih ini yang bergetar bagaikan orang demam.

Encik Abas asal dari Sarawak,
Orang kenduri laksa dia makan sagu,
Cakap tegas jangan pelawak,
Percaya dok paksa fikiran dok ragu.


Bahan-bahan

4 cawan sagu rembia
8 cawan air
2 cawan gula

     Kaedah

  1. Campurkan ketiga-tiga bahan tersebut dalam periuk.
  2. Masak dan kacau sehingga pekat.
 Bahan untuk kuah

1 biji kelapa (ambil santan)
6 ulas bawang merah
2 ekor ikan kembong/selayang
sedikit halia
sedikit halba
garam secukup rasa

Kaedah

1.    Ikan dipanggang, ambil isinya dan hancurkan.
  1. Campurkan kesemua bahan dan masak hingga pekat.
  2. Kacau semasa masak agar santan tidak berketul
  3. Sejukkan ke dalam loyang .
  4. Potong sagu rembia yang telah dimasak mengikut selera,kemudian masukkan ke dalam kuah untuk dihidangkan.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...