Wednesday, September 19, 2012

ASAL USUL NASI DAGANG TERSIMPAN RAHSIA BURASAK

Sehingga hari ini, ramai yang tidak tahu siapakah yang mula membuat nasi dagang. Sebut sahaja nasi dagang, hanya ramai yang tahu ianya berasal dari Negeri Terengganu, sebuah negeri yang berada di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Mengikut seorang tua yang saya temui, nasi dagang pada mulanya tidak dibuat oleh orang tempatan negeri Terengganu tetapi ianya dibuat oleh orang Bugis yang datang berdagang. Nasi dagang mulanya dibuat secara tidak sengaja oleh orang Bugis yang berada di Terengganu.

Ianya dikatakan terjadi semasa persediaan untuk menyambut hari raya aidil fitri. Telah menjadi kebiasaan rakyat akan memberi persembahan kepada istana. 

Menurut cerita, orang-orang Bugis bercadang untuk menyediakan juadah istimewa bagi dipersembahkan kepada baginda Sultan yang memerintah Terengganu pada masa itu. 

Bagi tujuan ini, orang-orang Bugis telah sepakat di kalangan mereka untuk membuat makanan Bugis secara bergotong-royong.


Untuk memberikan persembahan makanan yang baru kepada Sultan dan tentulah makanan perlu disediakan di saat-saat paling akhir untuk mengelakkan makanan yang dibuat itu daripada cepat rosak.

Manakala, juadah yang akan dibuat itu pula dikatakan perlu mengambil masa sehari untuk disiapkan. Orang-orang Bugis telah membuat keputusan untuk menyiapkan juadah istimewa itu sehari sebelum hari raya.

Dua hari sebelum hari raya sebagaimana dijangka, orang-orang Bugis telah menyediakan bahan-bahan untuk membuat juadah istimewa itu. Beras,  kelapa dan sebagainya termasuk daun pisang yang agak banyak.

Orang-orang Bugis dikatakan telah bercadang untuk membuat sejenis ketupat dalam daun pisang iaitu burasak dan dimakan bersama gulai ikan aya. Serta mereka juga akan membuat sejenis lepat dengan cara yang sama.

Tetapi kuasa Allah siapa yang tahu, petang itu anak bulan telah kelihatan dan hari raya jatuh pada hari esok. Suatu perbincangan tergempar telah berlaku di kalangan mereka dan mengikut ceritanya mereka tetap akan meneruskan usaha untuk menyiapkan burasak pada malam itu juga. 

Kalau tidak banyak sedikit pun mesti disiapkan untuk dipersembahkan kepada Sultan paling lewat sebelum solat Aidil Fitri. Dalam keadaan kelam kabut itu, semasa kerja mencuci beras untuk membuat burasak telah tercampur dengan beras pulut untuk dibuat lepat tanpa disedari sehinggalah kerja mengukus dibuat.

Bagi memastikan burasak yang disediakan dapat dimasak dengan cepat apabila direbus, maka ada yang mencadangkan agar nasi itu dikukus terlebih dahulu sebelum dicampurkan santan yang dimasak.  

Selepas maghrib, maka orang-orang Bugis telah tergesa-gesa untuk mengukus nasi untuk dijadikan burasak itu.

Cerita orang-orang Bugis sedang menyiapkan juadah istimewa telah sampai ke pengetahuan Sultan di istana. Sultan amat teringin untuk melihat kerja orang Bugis itu dan mengajak beberapa orang pembesar pergi melawat orang-orang Bugis yang sedang memasak makanan tersebut.  

Burasak yang disediakan itu akan dihidang bersama dengan gulai ikan aya (ikan tongkol) memandangkan pada masa itu bukan musim ikan parang. Ikan itu perlu dimasak agak lama sehingga tulang-tulangnya menjadi lembut.

Manakala orang-orang Bugis pula, tidak menyedari bahawa Sultan akan datang untuk melihat mereka menyediakan juadah istimewa itu. Tambahan pula penempatan orang-orang Bugis tidak jauh dari istana. 

Malam itu, ketika orang-orang Bugis sedang sibuk mengukus nasi dan dalam keadaan yang agak kelam kabut, sukatan santan yang dicampur ke dalam beras telah terlebih daripada biasa.

Tiba-tiba Sultan muncul bersama beberapa orang pembesar negeri. Ketika itu nasi telah diletakkan ke dalam bekas dan dicampur santan dan digaul dalam keadaan berwap(berasap) hanya menunggu untuk sejuk sedikit sebelum dibungkus.

Seorang pembesar istana bertanya kepada orang Bugis itu, makanan apa yang sedang dibuat itu.  Maka; dijawab " Buat burasak". Pertanyaan itu terhenti di situ kerana pembesar itu menyangka orang Bugis itu berkata nasi itu masih "berasap".  Tambahan pula loghat dan percakapan orang-orang Bugis dan tempatan agak banyak bezanya.

Bau harum santan dan daun pisang serta dari wap nasi yang dikukus itu telah membuatkan selera Sultan terbuka.

Tiba-tiba Sultan bertitah, beta ingin merasa sedikit. Maka, nasi bercampur santan itu telah dipersembahkan kepada Sultan, lalu disantap sedikit oleh Sultan. Keadaan menjadi sunyi seketika, semua mata yang ada memerhati ke arah Sultan.

Sultan tersenyum dan bertitah; “Beta mahu, nasi orang dagang ini dipersembahkan kepada Beta untuk santapan pagi esok”. Di sinilah bermulanya perkataan Nasi Dagang.

Orang-orang Bugis sampai tidak terkata dan terus mengangguk serta tidak pula mencelah. Rancangan orang-orang Bugis untuk menyediakan burasak untuk dipersembahkan kepada Sultan tidak kesampaian tetapi tinggal menjadi rahsia.

Sultan dikatakan amat mengemari makan nasi yang dibuat oleh orang-orang Bugis itu.

Rahsia burasak belum siap itu tersimpan kukuh sepakat di kalangan orang-orang Bugis bagi mengelakkan kemurkaan Sultan, dibimbangi sekiranya Sultan tahu yang baginda telah santap hidangan yang belum lagi disiapkan sepenuhnya. 

Bagi memastikan perkara itu tidak terbongkar serta yang paling penting menjaga nama baik Sultan, orang-orang Bugis telah membuat keputusan untuk tidak membuat burasak lagi.

Akibat kejadian yang tidak disangka itu, orang-orang Bugis yang berhasrat untuk makan burasak agak kempunan tetapi bagi mereka yang teringin untuk makan burasak, telah membuat pilihan dengan makan ketupat atau nasi himpit bersama gulai ikan aya yang telah dimasak itu.

Kesedapan nasi buatan orang dagang itu telah tersebar begitu cepat, ramai yang ingin merasainya dan akhirnya nasi dagang telah menjadi makanan tradisional orang-orang Terengganu terutama ketika menjelang sambutan hari raya dengan penambahbaikan rasa mengikut peredaran masa.

Bagi mengelakkan percakapan yang mengandungi perkataan burasak heboh, ianya telah dialihkan kepada perkataan ‘berasap’, dengan digabungkan ‘pengayuh’(disebut; ‘pe-nga-nyuh’ iaitu pendayung bagi merujuk pekerjaan orang Bugis iaitu nelayan;  `pe-nga-nyuh basah dapur berasap’.  Yang membawa maksud ‘Bila bekerja barulah mendapat hasilnya’.

Sehingga hari ini, rahsia resepi burasak itu tersembunyi dalam nasi dagang dan tidak banyak diketahui orang. Bagi orang-orang Terengganu yang berketurunan Bugis, mereka masih lagi boleh dikenal apabila makan nasi himpit bersama gulai ikan aya.

Nasi himpit bersama  gulai ikan aya ini boleh dibeli di kedai makan atau warong sekitar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Ini adalah antara makanan yang menjadi kegemaran saya selain nasi dagang yang kini boleh diperolehi sepanjang masa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...