Friday, December 24, 2010

Kari Ikan Tenggiri

Pagi tadi Kak Mas bersama suami pergi ke kedai Abang Mat di Bukit Kecil untuk memakan roti canai telur dan kuah karinya memang best sangat. Selepas itu, Kak Mas singgah sekejap di Paloh menjenguk kedua ibu bapa dan mak saudara meminta tolong membuat gubahan hantaran untuk peminangan anak lelakinya. Kak Mas membuat gubahan sirih, buah-buahan dan baju secara ringkas sahaja. Selepas siap, Kak Mas balik ke rumah. Pada jam 2 petang baru Kak Mas baru masuk dapur. Hari ini Kak Mas masak kari ikan tenggiri. Masakan ini boleh dikatakan masakan kesukaan keluarga saya.

Bila masak, Kak Mas hidangkan bersama-sama dengan singgang daging dan telur itik masin. Cubalah masakan ini, sedap tau.

Kari Ikan Tenggiri

Bahan:-

½ kg ikan Tenggiri

1 ulas bawang putih )
10 ulas bawang merah ) dikisar
½ inci halia )
2 biji lada kecil )

2 sudu besar air asam jawa
1 peket rempah kari – Adabi atau Peladang
2 sudu besar lada boh

Bahan untuk dimayang

1 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
¼ inci halia

4 sudu besar minyak masak
1 kotak kecil santan
2 cawan air
10 helai daun kari
5-6 biji sesawi

hiasan
1 biji bawang besar - dipotong mengikut kesukaan anda
1 biji lada besar - dipotong
1 biji tomato

Perasa – mengikut selera

Cara-caranya:-

1. Bahan yang dikisar dicampurkan dengan air asam jawa, rempah kari dan juga cili boh.
2. Panaskan minyak, selepas itu tumiskan bahan yang dimayang biar sampai pijar lepas itu masukkan daun kari bersama-sama dengan biji sesawi. Kemudian masukkan bahan yang dikisar tadi ke dalam tumisan sehingga naik baunya.
3. Selepas itu, masukkan ikan yang telah dibersihkan ke dalam periuk selama 10 hingga 15 minit kemudiannya masukkan santan dan air. Biarkan sampai mendidih masukkan bahan hiasan tadi.
4. Bila masak hidangkan bersama-sama dengan telur itik masin.



Wednesday, December 22, 2010

Ikan Kerapu Masam Manis(Sweet Sour)


Masakan ikan kerapu masam manis ini Kak Mas hidangkan bersama dengan Udang Mentega/Butter di atas meja pengantin semasa Kak Shera hari itu.

Ikan Kerapu Masam Manis


bahannya

1 ekor ikan kerapu - berat lebihkurang ½ kg - dibersihkan dan tos

Bahan A

5 ulas bawang merah )
1 ulas bawang putih ) ditumbuk
7 – 8 biji lada hitam )
Garam

Bahan B

1 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil sos tiram
1 sudu kecil kicap manis
1 sudu besar cili boh
Air asam jawa
perasa

bahan hiasan (hiris)
daun sup & bawang
tomato segar
cili merah
bawang besar

Minyak masak untuk menggoreng

Cara

1. Bahan A diperap bersama ikan selama 10 minit.
2. Panaskan kuali dan masukkan minyak, bila panas masukkan ikan yang diperap tadi hingga masak.
3. Selepas itu, angkat dan toskan ikan.
4. Panaskan kuali dan minyak masak, bila dah pijar kemudian tumiskan bahan A (rempah yang diperap dengan ikan) hingga naik baunya. Selepas itu masukkan bahan B, biarkan sampai betul-betul pijar.
5. Kemudian masukkan ikan yang ditoskan tadi bersama-sama rempah yang ditumiskan tadi selama 5 minit.
6. Bila masak hidangkan dan kemudian taburkan bahan-bahan hiasan tadi.


Udang Goreng Mentega (Berjala Telur)


Tanggal 17 Disember 2010, hari Jumaat, anak sepupu Kak Mas namanya Kak Shera (panggilan manja) telah melangsungkan perkahwinannya. Ayahnya yang bekerja sebagai pengetuk bodi kereta yang terkenal dengan kehalusan mutu kerja. Kak Shera ni dah dianggap seperti anak Kak Mas sendirilah. Oleh itu, dengan sedikit pengalaman yang Kak Mas ada ni, Kak Mas telah diminta untuk menyediakan hidangan pengantin dengan masakan Udang Goreng Mentega Berjala Telur dan Ikan Kerapu Masam Manis untuk dijadikan hidangan. Manakala pemanis mulut dihidangkan Puding Tauhu dan buah epal, limau Sunkist dan juga Anggur Merah.

Pada hari Khamis, sebelum majlis berlangsung, pagi-pagi lagi Kak Mas sekeluarga telah pergi ke Pasar Besar Kedai Payang untuk mencari bahan-bahan masakan hidangan ni.

Kak Mas sungguh gembira kerana telah berjaya menghasilkan hidangan ini dengan masakan Udang Goreng Mentega Berjala Telur, Ikan Kerapu Masam Manis ini. Kalau anda ingin mencubanya resipi ini, memang best hingga menjilat pinggan dan pengantin pun makan bertambah, he.he.he.

Resipinya adalah tersenarai sebagaimana di bawah.


Udang Goreng Mentega
(Berjala Telur)

Bahannya

1 kg Udang (bersaiz besar) – (lebih kurang 4 ekor)
1 sudu kecil Garam
2 sudu kecil Serbuk Kunyit
1 sudu kecil Serbuk Kari Ikan
5 helai daun kari
3 biji cili api
2 biji telur – merah telur
2 sudu Mentega atau Butter
Minyak masak untuk mengoreng.

Caranya :-

1. Udang hendaklah diperap dengan garam, kunyit dan serbuk kari ikan selama 10 minit.
2. Panaskan kuali dan masukkan minyak, apabila panas minyak masukkan udang biarkan sampai masak dan masukkan cili api, daun kari yang telah dimayang. Selepas itu angkat.
3. Simpan minyak gorengan udang tadi. Panaskan kuali masukkan minyak dicampur dengan mentega.
4. Merah telur yang dipukul tadi, digoreng di dalam minyak bersama mentega yang dah dipanaskan. Telur itu dipusing-pusing dengan acuan supaya menjadi seperti jala.
5. Selepas siap menjadi seperti jala terus diangkat dan ditoskan.
6. Selesai saja menyediakan telur jala, bolehlah dihidangkan bersama-sama udang tadi.

Catatan:-

Udang tersebut dicucuk dengan lidi sate dan dipacak pada buah nenas, manakala telur jala disangkut dekat kepala udang. Jadilah Udang Goreng Mentega Berjala Telur.

Friday, November 19, 2010

Rendang Ayam (Kak Mas)




Malam raya, Kak Mas menyediakan masakan rendang ayam bersama dengan ketupat nasi untuk sarapan di pagi Raya Aidil Adha dan rendang ini dibawa sedikit ke rumah mak Kak Mas di Paloh. Kebiasaannya Kak Mas masak rendang daging tapi kali ini masak rendang ayam pulak, maklumlah mak Kak Mas tak makan rendang daging.

Rendang ini tak sampai tengahari pun dah habis dimakan bersama ketupat, kali ini Kak Mas buat sedikit saja. Kalau adik-adik nak cuba rendang daging, resipinya sama saja.


Manakala anak Kak Mas pula membuat kek coklat dengan toppingnya sekali..memanglah sedap, selepas makan rendang tu, kita makan pencuci mulut pula.

Masakan ini memang kesukaan keluarga Kak Mas, terutamanya sekali anak sulong Kak Mas tapi dia tidak dapat beraya bersama kerana pergi belajar di luar negara. Insya’allah kalau dia ada kelapangan di tahun depan baru dapat balik, bolehlah Kak Mas sediakan masakan ini.

Cubalah…best tau..sampai menjilat jari.

Rendang Ayam
(Kak Mas
)

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam (1 ½ kilo)
3 ulas bawang putih }
3 biji bawang besar }
10 biji bawang kecil }
5 biji lada kecil } dikisar
2 ½ inci lengkuas }
1 ½ inci kunyit }
1 inci halia }
2 batang serai }
3 sudu besar cili boh
2 keping asam keping
1 peket rempah kari daging
1 biji kelapa – dibuat kerisik
1 biji kelapa – santan pekat
½ cawan minyak masak
3 – 4 helai daun limau purut
4 helai daun kunyit - dimayang

Perisa - garam, gula dan manisan (mengikut selera)



Caranya :-

1. Bahan yang dikisar tadi hendaklah dicampur dengan rempah dan cili boh. Selepas itu panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumiskan bahan yang digaul sehingga naik pijar

2. Selepas itu masukkan ayam dan bersekali dengan kerisik, asam keping dan daun limau purut ke dalam kuali. Biarkan selama 1 hingga 1 ½ jam dengan api yang perlahan, kacaulah selalu.

3. Akhirnya masukkan daun kunyit dan santan, biar sampai kering. Bahan perisa mengikut selera masing-masing. Masakan ini memakan masa selama 3 jam.

4. Bila sudah masak terus dihidang bersama dengan ketupat atau lemang.






Sunday, November 14, 2010

Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas

Hari minggu yang lepas hujan lebat sekali, maklumlah dah mula masuk musim tengkujuh. Kakak sekeluarga pergi ke Pasar Manir untuk membeli ikan Patin. Dapat jugak rasa ikan fresh. Peniaga yang jual tu siap menyiang ikan tu sekali.

Suami kakak sangat menyukai masakan Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas.

Bila pulang ke rumah, kakak terus ke dapur dan menyediakan bahan-bahan untuk memasak ikan ini. Masakan ini sangat sesuai dimakan bersama-sama sayur kangkung goreng sambal belacan.

Cubalah masakan ikan..sedap tau.. cuba jangan tak cuba..cukup mudah dimasak.

Satu lagi bila beli ikan patin yang hidup dan segar, jangan dibuang insangnya... kepada yang gemar insangnya seperti ikan tenggiri. Boleh dimakan.


Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas

Bahan-

1 ekor Ikan Patin – (800 gram)
3 biji bawang besar }
3 biji bawang putih }
2 inci kunyit basah } - dikisar
2 inci halia }
3 biji lada besar }
3 inci lengkuas }
2 -3 biji cili api }
1 sudu besar cili boh
4 keping asam keping
¼ sudu kecil belacan
4 cawan air
10 tangkai daun kesum

Bahan perisa

Garam dan Msg – mengikut selera

Caranya:-

1. Bahan yang dikisar tadi dicampur dengan cili boh, asam keeping, air, belacan dan daun kesum beserta dengan ikan patin ke dalam periuk.

2. Lepas itu masukkan bahan perasa. Biarkan masakan tadi mendidih hingga kering sedikit airnya selama ½ jam.

3. Bila masak, terus dihidang bersama sayur kangkung goreng sambal belacan.

Friday, November 12, 2010

Pisang Gala Pemberian Mak Nah

Hari ini, akak terasa sunyi dan mulalah melayari internet, lalu membuka halaman blog akak yang dah lama akak tidak mengemaskini blog masakan akak. Terlebih dahulu akak meminta maaflah kepada semua teman blog akak ni, maklumlah terlalu lama akak tinggalkan blog ini dan sekarang baru akak cuba masukkan resepi akak semula. Insya’allah akak akan kongsikan resepi ini untuk teman-teman semua.

Pada suatu petang semasa pulang ke rumah, suami akak melihat jiran sedang menebang sebatang pokok pisang gala yang sedang berbuah muda dan sesuai untuk dibuat acar. Lalu beliau bertanya pada jiran itu, boleh tak bagi kepadanya pisang gala tu, maklumlah acar pisang memang kesukaannya. Jiran akak pun bagilah setandan pisang itu kepada suami akak. Pada masa itu, akak sedang memasak untuk makan malam. Apa lagi dia pun suruh akak masak acar pisang gala untuk dimakan pada malam itu. Memang berselera sekali suami akak makan.

Rasailah resepi akak yang tradisional ni. Cubalah..

Masak Acar Pisang Gala

Bahan-

10 biji pisang gala - dicelur
5 biji bawang besar }
3 biji bawang putih } - dikisar
2 inci halia }
5 biji lada besar }
3 sudu besar cili boh
2 sudu besar air asam jawa
2 biji bawang putih }
5 biji bawang merah } - dimayang
1 ½ inci halia }
½ botol cuka
½ cawan minyak masak

Bahan perisa

Manisan, gula dan garam – mengikut selera

Caranya:-

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak.
2. Masukkan bahan yang dimayang ke dalam kuali sehingga warna keemasan dan selepas itu masukkan bahan yang dikisar bersekali dengan cili boh sehingga pijar. Masukkan air asam jawa.
3. Apabila bahan tadi betul-betul masak masukkan bahan perisa dan juga cuka.
4. Akhir sekali masukkan pisang yang telah ditoskan tadi.
5. Kalau nak Nampak cantik dan serinya masakan masukkan bawang besar yang dibelah 4 dan juga cili hidup untuk hiasan.

Nota:

Sebelum pisang dicelur selama 20 minit – pisang hendaklah dipotong halus yang tak putus.

Tuesday, June 8, 2010

BISKUT BANGKIT

Bahan-bahannya:


1 mangkuk telur ayam
1 mangkuk gula 
2 mangkuk tepung ubi
1 1/2 cawan tepung ubi jagung
2 biji kelapa parut - ambil santan tanpa tambah air

Cara-cara Membuatnya:

1.   Pukul telur hingga kembang dan tapis dengan kain muslin.
2.   Tepung ubi dan tepung jagung  yang telah diayak dicampur bersama telur dan santan.
3.   Uli hingga lembut dan masukkan ke dalam acuan. (Guna seperti acuan putu).
4.   Keluarkan dari acuan dan bakar sampai masak.
google.com, pub-5229426821154127, DIRECT, f08c47fec0942fa0