Monday, June 11, 2018

Daging Black Pepper Steak

Hari ini keluarga Kak Mas nak makan Daging Black Pepper Steak.  Daging Masak Steak Lada Hitam. Kirim duit kat menantu minta belikan daging dari gerai Abg Razak kat simpang Manir.  Keluarga Kak Mas dari dulu lagi memang mendapatkan bekalan daging dari Abg Razak tak perlu special request lagi, cukup dengan beritahu nak masak apa, kerana Abg Razak akan bagi bahagian daging yang sesuai untuk masakan yang disebut.

Bahan-bahannya;


1/2 kg daging batang pinang
5 ulas bawang merah
2 siong bawang putih
1/2 inci halia
1 ulas bawang besar - potong membulat 1/4 inci tebal
1 sudu kecil lada hitam
1 batang lobak potong menyerong 1/2 inci tebal
1/2 cawan Kicap Manis Adabi
1 cawan air
1/2 tin cendawan butang - belah 2
1 biji buah tomato potong 4
1/2 sudu kecil tepung jagung + 2 sudu besar air (untuk memekatkan kuah)
1/2 sudu kecil gula
2 sudu besar minyak masak 

Cara-cara Membuatnya:

1.   Sediakan daging dengan menghiris setebal 1/2 inci. Bersihkan dan tos, ketepikan dahulu.

Monday, June 4, 2018

Petua Memasak - Cara Besarkan Biji Petai

Semalam Kak Mas pergi ke Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu untuk membeli barangan basah keperluan harian bagi simpan seminggu seperti ikan, ayam, telur, sayur-sayuran. Antara barangan yang dibeli ialah petai. Kak Mas berlegar di tempat jualan sayur-sayuran untuk mencari petai. Ada beberapa tempat yang menjual petai dan semuanya mempunyai mata yang kecil sahaja. Maksud Kak Mas, mata tu biji petailah.

Kak Mas tiada pilihan banyak, Kak Mas membeli juga petai yang mempunyai biji paling besar antara biji petai kecil-kecil itu. Yang Kak Mas nak kongsi di sini ialah cara untuk kita membuat biji petai menjadi besar sikit lagi dari yang Kak Mas beli itu. Sebenarnya, biji petai boleh dibesarkan sedikit dengan menggunakan teknik ini.

Mula-mula, kupas buang kulit ambil biji petai sahaja. Letakkan semua biji petai tersebut ke dalam mangkuk, masukkan air sejuk, jangan guna air panas dan biarkan biji petai itu terendam untuk tempoh 6 jam atau lebih. Selepas itu, toskan air dan simpan dalam peti sejuk supaya petai itu tidur, kalau tak disimpan dalam peti sejuk, petai tadi akan tumbuh. 

Semoga petua ni memberi manfaat untuk anda. Petai yang layu juga dapat dirawat dengan kaedah rendaman air ini. Semua mata petai memandang kat Kak Mas pulak dah. Nak masak apa abah dia ni?


Sunday, May 27, 2018

Gulai Ikan Talang Masin Masak Lemak Nenas

Dah 2 hari, sebiji nenas terletak di atas meja di dapur. Kak Mas mulanya belum ada cadangan lagi untuk buat apa, buat jeruk, sesekali fikir nak buat jem untuk kuih tart nenas, tapi tak cukup kalau nak buat sedikit boleh je. Atau buat acar masak untuk makan waktu berbuka. Mmm ... sebaik buka peti sejuk baru teringat ikan talang masin yang disimpan berbungkus dalam bahagian sayur.

Hah... dah dapat idea. Santan ada ... elok sangat. Masak Lemak cili merah versi Tok Su.

Bahan-bahannya:

1 biji nanas - dengan pisau tajam - dikupas buang kulit dan ditarah silang buang duri. Kemudian dihiris-hiris berpetak.
1 ekor ikan talang masin - dibersihkan dan direndam 25 minit dan ditoskan.
2 batang serai diketuk
3 helai daun kunyit muda yang disiat-siat
2 keping asam keping / gelugur
1 kotak santan segera.
Garam dan gula secukup rasa.

Bahan-bahan untuk dikisar halus:

6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 ulas cili merah
15 ulas cili api - nak pedas tambah aje
1 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas

Cara-cara Membuatnya:

1.   Masukkan 2 gelas air. 
2.   Masukkan bahan yang dikisar ke dalam periuk dan masak sehingga bawang benar-benar masak. 
3.   Setelah air tinggal kurang separuh, masukkan ikan masin gaul sekejap, lepas itu barulah dimasukkan nanas, kacau hingga nanas separuh empuk.
4.   Tambah sedikit air, kalau perlu.
5.   Masukkan asam keping / gelugur dan tuang santan pekat. Kacau perlahan.
6.   Masukkan daun, masakkan sekejap hingga mendidih dan padam api.
7.   Rasa kemasinannya. Tambahkan garam jika  perlu dan gula mengikut citarasa anda.

Apa lagi, dah boleh makan. Nanas kalau buang duri tak habis memang tak best. Santan kalau dimasukkan terlalu awal, nanti naik minyak.




Saturday, May 26, 2018

Kuih Onde-Onde (Buah Melaka)

Anakanda Kak Mas mengidam nak makan kuih onde-onde. Jadi dia pesan ke Kak Mas belikan tepung pulut untuk buat onde-onde katanya. Kak Mas kata bukan tepung pulut saja kena beli kalau nak buat kuih tu atau dalam kata lain nak bermanja suruh Kak Mas buatkanlah kuih tu. Tapi sampai bila, dah nak masuk dua orang anak ni kenalah berjanji nak buat meskipun sekarang ni kalau pergi bazar Ramadhan dah siap pun.

Yang ironinya bila beli kat bazar, kelapa parut mudah basi kalau tak hati-hati. Kena hidu tapi apa orang yang nengok dan menjual tu kata pulak. Cik Kak ... kami jual je yang ni semua kuih orang hantar. Kesian pulak, tapi tak apa ... Kak Mas bagi resepi ni ....

Bahan-bahannya:

1 gelas tepung pulut
1/2 kotak santan pekat
1/4 camca teh garam halus
1/4 cawan kelapa parut (ambil yang putih dan tidak terlalu tua)
1 kerek gula kabung / manisan / gula melaka (Potong ketul bulat kecil-kecil manisan inti)
2 helai daun pandan - dikisar dengan secawan air (tapis ambil warna)

Cara Membuatnya:

1.   Uli tepung pulut bersama air daun pandan, santan dan garam.
2.   Selepas doh tersedia, gentel bulat-bulat untuk buat bebola doh sebesar biji guli. Isikan gula melaka ke dalam bebola pulut itu.
3.   Jerang air di dalam periuk hingga menggelegak.
4.   Masukkan bebola pulut yang telah dimasukkan manisan ke dalam air yang sedang gelegak itu.
5.   Apabila telah masak, bebola tadi akan menimbul, sauk dengan sudu dan toskan airnya.
6.   Golekkan bebola keatas kelapa parut yang telahpun digaul dengan sedikit garam.
7.   Masa untuk mencuba ... oops ... bulan puasa ni. nanti Kak Mas makan waktu berbuka. Jom.

Thursday, May 17, 2018

PUDING LAICI

Hari Ahad baru-baru ni Kak Mas menghadiri Kursus Team Building, orang tua dan telah berusia serta bercucu seperti Kak Mas kembali segar selepas berpeluh dalam aktiviti yang diadakan. Yang pasti usia kita makin bertambah hari ke hari. Dalam aktiviti yang diadakan, bahasa isyarat  ... Kak Mas juga dapat hamper atas kejayaan kerja dalam kumpulan. Dengan satu hamper tu ada pelbagai hadiah yang terpaksa dibahagi secara ala kadar sebab berlainan jenis.

Adik-adik yang pernah dapat hadiah satu hamper dalam satu kumpulan mesti pernah mengalami keadaan begitukan? Cuba angkat tangan Kak Mas nak tengok. Okeylah moga hidup kita ceria dengan lawak ringan ni.

Kak Mas ambil tin laici ... tak nak berebut untuk ambil coklat atau gula-gula ... bagi je kat orang muda. Laici dalam tin pulak mengingatkan zaman persekolahan dulu-dulu ... bila rombongan ke Singapura itulah yang dibawa balik. Ceria adik beradik yang masih kecil.

Okey ke situ pulak ... dengan Laici dalam tin ni... Kak Mas nak buat Puding Laici untuk berbuka puasa maghrib nanti. Resepi Puding Laici 

Bahan-bahan
2 tin laici (ambil laici sahaja)
1 tin buah campuran
1 tin susu cair (Ideal sure the best)
1 bungkus agar-agar
10 gelas air
1 kotak santan (200ml)
1 tin susu pekat
1 1/2 gelas gula

Cara-cara Membuatnya
1. Didih agar-agar hingga cair  dan larut dengan 10 gelas air... bubuh daun pandan.
2. Kemudian, masukkan susu cair dan susu pekat.
3. Akhir sekali masukkan kesemua bahan-bahan serta laici dan buah campuran kedalam agar-agar. Kacau dengan perlahan hingga sebati.
4. Masukkan ke dalam bekas dan sejukkan dalam peti sejuk.

Simpan untuk waktu berbuka nanti. Che Abang jangan pulak terlupa intai-intai dalam petisejuk hari ini kita puasa. 




Sunday, May 13, 2018

SAMBAL IKAN BILIS

Hari ini Kak Mas nak bagi satu resepi untuk adik-adik yang minat nak buat bisnes COD atau ONLINE. Kalau yang masih belum ada kerja atau sedang menunggu panggilan temuduga ... Insya Allah ada peluang tu. Bagi yang dah bekerja ... apa salahnya buat hujung minggu dan botolkan. Tambah pendapatan. Kalau berjaya Kak Mas tumpang gembira. Kalau dah buat tu .. boleh mesej ke Kak Mas untuk Kak Mas tolong bantu viralkan.

Resepi Sambal Ikan Bilis

Bahan-bahan;

6 biji bawang merah - dikisar 
1 biji bawang besar - mayang/hiris
Segenggam ikan bilis - ambil secubit tumbuk (pemanis rasa)
2 cm belacan 
2 senduk besar Laderbo (Cili Giling)
2 sudu asam jawa dibancuh dengan secawan air
Garam dan Gula secukup rasa.

Cara Membuatnya

1.   Panaskan minyak di kuali.
2.   Tumis bawang merah hingga naik bau wanginya.
3.   Masukkan belacan dan ikan bilis.
4.   Goreng hingga kekuningan.
5.   Masukkan cili giling, tumis hingga pecah minyak.
6.   Masukkan bawang besar.
7.   Masukkan air asam jawa dan teruskan sambil kacau perlahan-lahan hingga pekat.
8.   Bubuh garam dan gula secukup rasa. 
9.   Akhir sekali bubuh sesudu cuka makan dan kacau. (Cuka makan akan bantu mengawet sambal ini untuk bertahan).

Formula yang diberi ini cukup untuk makan sehidangan tapi kalau nak buat bisnes, semua bahan perlu ditimbang. Yang paling penting gunakan penimbang dan catat, guna minyak dari jenama yang sama, belacan, asam jawa pengeluar yang sama, ikan bilis pun. Pelanggan amat mengutamakan rasa yang sama, bila dan sedap tu jangan ubah resepi yang anda hasilkan. 

Dalam pembuatan makanan pengekalan rasa bergantung kepada sukatan. Sebab itulah Kak Mas minta guna penimbang. Gunakan ikan bilis yang dijual oleh penjual yang sama sebaiknya. Jangan sesekali ubah pembekal. Lain pembekal belacan lain pula rasa belacan. Jangan terlupa bubuh cuka makan kalau tidak ia akan cepat naik kulat apalagi kalau tak disimpan dalam peti sejuk selepas botol dibuka.

Dah buat, apa lagi ... bila dah sedap hasilnya ... ambil tempahan dan botolkan. Tampal stiker yang cantik. Seperti produk kilang. Kak Mas doakan anda semua akan berjaya. Kirimlah ke Kak Mas sebotol ... nak rasa ni.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...