Menurut cerita, kuih ini dikenali
sebagai Encik Abas Demam kononnya adalah gurauan kepada seorang bernama Abas yang berasal dari Sarawak
dan tinggal menetap di Kampung Maras, Terengganu dan bekerja sebagai penebang pokok sagu untuk makanan ternakan. Bertemu jodoh dengan orang tempatan.
Ketika kenduri makan laksa diadakan di kampung
tersebut, Encik Abas telah jatuh demam, dan isteri Encik Abas telah menasihatnya
untuk tidak memakan laksa dengan alasan dalam keadaan demam memakan laksa yang menggunakan acuan kebuk tembaga, boleh
menyebabkan badan orang yang demam akan bertambah sakit.
Agar tidak mengecewakan perasaan Encik
Abas yang sedang demam pada hari itu; isterinya telah memasak sagu diganti laksa untuk dimakan
bersama kuah laksa. Apabila laksa telah habis dan dengan kuah untuk laksa yang masih lagi ada, orang-orang kampung yang datang kemudiannya telah diraikan dengan dihidangkan sagu yang
dimasak untuk Encik Abas.
Kesedapan
sagu apabila dimakan dengan kuah laksa telah menjadi bualan dan sejak hari itu
kuih itu dipanggil dengan nama Encik Abas Demam kerana kuih itu sebenarnya khusus dibuat untuk Encik Abas yang demam pada hari tersebut.
SKETSA ENCIK ABAS DEMAM
"Sedak makang laksa jamung rumoh Mok Nab malring, mung gi lewak sangat dok dang makang ah. Nasib baik ader lagi satang kalu tidok buleh nyor ... mung padang hiruk kuwah saje lah. Mung, hiruk kuwah pung dok apa sebap anok puang dia peroh satang.... pekat molep ... hahaha"
"Mung jangang kater gitu, aku makang sedak lagi... mung dok tahu ... mung pun dok noho terai lagi... sedak lagi makanang hok aku makang malring ..."
"Doh mung makang mende pulok, belebong sunggoh... tu arr tebeng sangak gi lewak"
"Lewak pun.. aku buleh makang sagu dengang kuoh laksa.... sagu ni lagi sedak ...laksa kebok temaga wat sakit orat... kuah laksa memer r sedak sangak sebap satang anok darer dia peroh."
"Sagu maghi mana pulok? Dok tengok pung aku, mung jangang wat nawok"
"Sagu hok Mok Nab buat ke laki dia Encik Abas... betulang demang... orang demang mana buleh makang laksa. Anok darer dia pung bubuhlah ke aku semakok"
"Jadi mung demang jugok arh."
"Mok Nab kata orang demang dok lalu nok makang gop, pader dok habih baiklah bui ke orang sehak.... Hahaha... bahang di orang segor arh, sedak sunggoh weh, tapi kalu mung gi arini sagu tak dop doh ... orang bahang jerelok doh malring... memer mung buleh nyor r"
"Weh...sedak lek dia pulok, kes makang laksa malring ni... aku pung rase macang nok demang r pulok"
"Hahaha...."
#Kuih ENCIK ABAS DEMAM sedang dicari di Bazar Ramadan .....
Ada juga mengatakan bentuk kuih
ini yang bergetar bagaikan orang demam.
Encik Abas asal dari Sarawak,
Orang kenduri laksa dia makan
sagu,
Cakap tegas jangan pelawok,
Percaya dok paksa fikiran dok ragu.
Bahan-bahan
A. Bahan Untuk Isi Sagu
A. Bahan Untuk Isi Sagu
4 cawan sagu rembia
8 cawan air
2 cawan gula
Kaedah
- Campurkan ketiga-tiga bahan tersebut dalam periuk.
- Masak dan kacau sehingga pekat.
B. Bahan Untuk Kuah
1 biji kelapa (ambil santan)
6 ulas bawang merah
2 ekor ikan kembong/selayang
sedikit halia
sedikit halba
garam secukup rasa
Kaedah
1. Ikan dipanggang, ambil isinya dan hancurkan.
- Campurkan kesemua bahan dan masak hingga pekat.
- Kacau semasa masak agar santan tidak berketul
- Sejukkan ke dalam loyang .
- Potong sagu rembia yang telah dimasak bersegi-segi atau mengikut selera, kemudian masukkan potongan kuih ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah untuk dihidangkan.
# Sagu rendang atau sagu manik boleh juga diguna menggantikan sagu tepung/rembia.
Bahan-bahannya:-
1 cawan biji sagu rendang/sagu
3 cawan air
¾ cawan gula pasir
½ sudu kecil garam halus
Cara-Cara Membuatnya:-
1. Bilas dan rendam biji sagu dalam air sekejap. Toskan.
2. Masak air di dalam periuk
3. Selepas mendidih masukkan biji sagu, masukkan gula dan kacau sehingga rata.
4. Selepas biji sagu mula jernih, angkat dan masukkan ke dalam loyang.
5. Kukus dalam kukusan antara 15 – 20 minit.
6. Apabila telah masak, biarkan sejuk dan potong empatsegi-empatsegi, kemudian masukkan potongan kuih kedalam mangkuk dan tuang kuah, dihidangkan.
#cheabasdemam #encik abas demam
#cheabasdemam #encik abas demam
No comments:
Post a Comment