Friday, November 19, 2010

Rendang Ayam (Kak Mas)




Malam raya, Kak Mas menyediakan masakan rendang ayam bersama dengan ketupat nasi untuk sarapan di pagi Raya Aidil Adha dan rendang ini dibawa sedikit ke rumah mak Kak Mas di Paloh. Kebiasaannya Kak Mas masak rendang daging tapi kali ini masak rendang ayam pulak, maklumlah mak Kak Mas tak makan rendang daging.

Rendang ini tak sampai tengahari pun dah habis dimakan bersama ketupat, kali ini Kak Mas buat sedikit saja. Kalau adik-adik nak cuba rendang daging, resipinya sama saja.


Manakala anak Kak Mas pula membuat kek coklat dengan toppingnya sekali..memanglah sedap, selepas makan rendang tu, kita makan pencuci mulut pula.

Masakan ini memang kesukaan keluarga Kak Mas, terutamanya sekali anak sulong Kak Mas tapi dia tidak dapat beraya bersama kerana pergi belajar di luar negara. Insya’allah kalau dia ada kelapangan di tahun depan baru dapat balik, bolehlah Kak Mas sediakan masakan ini.

Cubalah…best tau..sampai menjilat jari.

Rendang Ayam
(Kak Mas
)

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam (1 ½ kilo)
3 ulas bawang putih }
3 biji bawang besar }
10 biji bawang kecil }
5 biji lada kecil } dikisar
2 ½ inci lengkuas }
1 ½ inci kunyit }
1 inci halia }
2 batang serai }
3 sudu besar cili boh
2 keping asam keping
1 peket rempah kari daging
1 biji kelapa – dibuat kerisik
1 biji kelapa – santan pekat
½ cawan minyak masak
3 – 4 helai daun limau purut
4 helai daun kunyit - dimayang

Perisa - garam, gula dan manisan (mengikut selera)



Caranya :-

1. Bahan yang dikisar tadi hendaklah dicampur dengan rempah dan cili boh. Selepas itu panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumiskan bahan yang digaul sehingga naik pijar

2. Selepas itu masukkan ayam dan bersekali dengan kerisik, asam keping dan daun limau purut ke dalam kuali. Biarkan selama 1 hingga 1 ½ jam dengan api yang perlahan, kacaulah selalu.

3. Akhirnya masukkan daun kunyit dan santan, biar sampai kering. Bahan perisa mengikut selera masing-masing. Masakan ini memakan masa selama 3 jam.

4. Bila sudah masak terus dihidang bersama dengan ketupat atau lemang.






Sunday, November 14, 2010

Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas

Hari minggu yang lepas hujan lebat sekali, maklumlah dah mula masuk musim tengkujuh. Kakak sekeluarga pergi ke Pasar Manir untuk membeli ikan Patin. Dapat jugak rasa ikan fresh. Peniaga yang jual tu siap menyiang ikan tu sekali.

Suami kakak sangat menyukai masakan Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas.

Bila pulang ke rumah, kakak terus ke dapur dan menyediakan bahan-bahan untuk memasak ikan ini. Masakan ini sangat sesuai dimakan bersama-sama sayur kangkung goreng sambal belacan.

Cubalah masakan ikan..sedap tau.. cuba jangan tak cuba..cukup mudah dimasak.

Satu lagi bila beli ikan patin yang hidup dan segar, jangan dibuang insangnya... kepada yang gemar insangnya seperti ikan tenggiri. Boleh dimakan.


Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas

Bahan-

1 ekor Ikan Patin – (800 gram)
3 biji bawang besar }
3 biji bawang putih }
2 inci kunyit basah } - dikisar
2 inci halia }
3 biji lada besar }
3 inci lengkuas }
2 -3 biji cili api }
1 sudu besar cili boh
4 keping asam keping
¼ sudu kecil belacan
4 cawan air
10 tangkai daun kesum

Bahan perisa

Garam dan Msg – mengikut selera

Caranya:-

1. Bahan yang dikisar tadi dicampur dengan cili boh, asam keeping, air, belacan dan daun kesum beserta dengan ikan patin ke dalam periuk.

2. Lepas itu masukkan bahan perasa. Biarkan masakan tadi mendidih hingga kering sedikit airnya selama ½ jam.

3. Bila masak, terus dihidang bersama sayur kangkung goreng sambal belacan.

Friday, November 12, 2010

Pisang Gala Pemberian Mak Nah

Hari ini, akak terasa sunyi dan mulalah melayari internet, lalu membuka halaman blog akak yang dah lama akak tidak mengemaskini blog masakan akak. Terlebih dahulu akak meminta maaflah kepada semua teman blog akak ni, maklumlah terlalu lama akak tinggalkan blog ini dan sekarang baru akak cuba masukkan resepi akak semula. Insya’allah akak akan kongsikan resepi ini untuk teman-teman semua.

Pada suatu petang semasa pulang ke rumah, suami akak melihat jiran sedang menebang sebatang pokok pisang gala yang sedang berbuah muda dan sesuai untuk dibuat acar. Lalu beliau bertanya pada jiran itu, boleh tak bagi kepadanya pisang gala tu, maklumlah acar pisang memang kesukaannya. Jiran akak pun bagilah setandan pisang itu kepada suami akak. Pada masa itu, akak sedang memasak untuk makan malam. Apa lagi dia pun suruh akak masak acar pisang gala untuk dimakan pada malam itu. Memang berselera sekali suami akak makan.

Rasailah resepi akak yang tradisional ni. Cubalah..

Masak Acar Pisang Gala

Bahan-

10 biji pisang gala - dicelur
5 biji bawang besar }
3 biji bawang putih } - dikisar
2 inci halia }
5 biji lada besar }
3 sudu besar cili boh
2 sudu besar air asam jawa
2 biji bawang putih }
5 biji bawang merah } - dimayang
1 ½ inci halia }
½ botol cuka
½ cawan minyak masak

Bahan perisa

Manisan, gula dan garam – mengikut selera

Caranya:-

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak.
2. Masukkan bahan yang dimayang ke dalam kuali sehingga warna keemasan dan selepas itu masukkan bahan yang dikisar bersekali dengan cili boh sehingga pijar. Masukkan air asam jawa.
3. Apabila bahan tadi betul-betul masak masukkan bahan perisa dan juga cuka.
4. Akhir sekali masukkan pisang yang telah ditoskan tadi.
5. Kalau nak Nampak cantik dan serinya masakan masukkan bawang besar yang dibelah 4 dan juga cili hidup untuk hiasan.

Nota:

Sebelum pisang dicelur selama 20 minit – pisang hendaklah dipotong halus yang tak putus.

google.com, pub-5229426821154127, DIRECT, f08c47fec0942fa0