Pagi tadi Kak Mas bersama suami pergi ke kedai Abang Mat di Bukit Kecil untuk memakan roti canai telur dan kuah karinya memang best sangat. Selepas itu, Kak Mas singgah sekejap di Paloh menjenguk kedua ibu bapa dan mak saudara meminta tolong membuat gubahan hantaran untuk peminangan anak lelakinya. Kak Mas membuat gubahan sirih, buah-buahan dan baju secara ringkas sahaja. Selepas siap, Kak Mas balik ke rumah. Pada jam 2 petang baru Kak Mas baru masuk dapur. Hari ini Kak Mas masak kari ikan tenggiri. Masakan ini boleh dikatakan masakan kesukaan keluarga saya.
Bila masak, Kak Mas hidangkan bersama-sama dengan singgang daging dan telur itik masin. Cubalah masakan ini, sedap tau.
Kari Ikan Tenggiri
Bahan:-
½ kg ikan Tenggiri
1 ulas bawang putih )
10 ulas bawang merah ) dikisar
½ inci halia )
2 biji lada kecil )
2 sudu besar air asam jawa
1 peket rempah kari – Adabi atau Peladang
2 sudu besar lada boh
Bahan untuk dimayang
1 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
¼ inci halia
4 sudu besar minyak masak
1 kotak kecil santan
2 cawan air
10 helai daun kari
5-6 biji sesawi
hiasan
1 biji bawang besar - dipotong mengikut kesukaan anda
1 biji lada besar - dipotong
1 biji tomato
Perasa – mengikut selera
Cara-caranya:-
1. Bahan yang dikisar dicampurkan dengan air asam jawa, rempah kari dan juga cili boh.
2. Panaskan minyak, selepas itu tumiskan bahan yang dimayang biar sampai pijar lepas itu masukkan daun kari bersama-sama dengan biji sesawi. Kemudian masukkan bahan yang dikisar tadi ke dalam tumisan sehingga naik baunya.
3. Selepas itu, masukkan ikan yang telah dibersihkan ke dalam periuk selama 10 hingga 15 minit kemudiannya masukkan santan dan air. Biarkan sampai mendidih masukkan bahan hiasan tadi.
4. Bila masak hidangkan bersama-sama dengan telur itik masin.
No comments:
Post a Comment