Sambal Pauh
Di hari minggu, pagi-pagi lagi sudah keluar untuk bersarapan. Macam biasalah kedai Abang Mat roti canai yang dituju. Bila sampai, tak perlu pesan, roti dah sampai di meja. Suami dan anak Kak Mas minta kari tulang `gear box’ ditambah pulak dengan susu kambing. Kak Mas sekarang kena tukar sedikit menu makannya, minta roti canai kosong je beserta dengan air teh `o’. Lazatnya tak terkata roti dicicah dengan kari ikan.
Selesai makan , Kak Mas ke Pasar Chabang Tiga, suami Kak Mas nak cari nangka muda untuk masak cili api nangka. sampai je kat pasar, satu pasar tak ada pulak nangka muda ni. Dah puas pusing, jumpa pauh muda, Kak Mas pun belilah pauh muda RM1.00 saja lebihkurang 7 biji semuanya dan RM1.00 kelapa parut. Maklumlah Kak Mas ni, ahli keluarganya tak ramai cukuplah tu. Pergi kat gerai ikan, beli ikan Selayang RM4.00, tak kisahlah berapa ekor dia orang nak bagi.
Bila sampai rumah Kak Mas terus masuk dapur, membersih ikan dan menyinggang ikan. Selepas masak ikan, Kak Mas mengopek mangga muda dan mencincang halus untuk dijadikan sambal.
Bahan-bahan untuk sambal pauh
2 ekor ikan selayang - (direbus dan diambil isinya)
100 gram kelapa parut
7 biji pauh muda (dicincang halus)
2 biji cili merah
2 biji cili api
½ sudu kecil belacan
Perasa – mengikut selera
Caranya;
1. Masukkan cili merah, cili api, belacan dan juga perasa ke dalam lesung, kemudian tumbuk separuh hancur dan masukkan kelapa, selepas itu ditumbuk sehingga sebati. Akhir sekali masukkan pauh yang telah dicincang ditumbuk sehingga betul-betul sebati dan terus dihidang.
Hari ni, kami sekeluarga makan tengahari bersama-sama dengan ikan Selayang singgang, sambal pauh, peria goreng bertelur dan tidak ketinggalan ikan goreng kesukaan anak perempuan. Kak Mas sampai menambah-nambah nasi, bukan main berselera lagi.
No comments:
Post a Comment