Monday, July 13, 2009

Nasi Minyak Istimewa

Hari ini, akak cuti kerana adik akak mintak tolong buat nasi minyak untuk majlis sembahyang hajat kakak iparnya. Pagi tadi akak pergi bersama adik akak membeli barang keperluan untuk membuat nasi minyak beserta dengan lauknya. Sebelum pergi pasar, akak dan adik pergi window shopping kat kedai perabot Padang Midin, Kuala Terengganu kerana adik akak nak cari sofa baru untuk rumahnya. Tak beli lagi..saja tengok-tengok dulu. Lepas tu, kami berdua terus pergi ke Pasar Borong, Gong Pauh, Kuala Terengganu. Penjual daging kat situ baik-baik dan suka membantu. Apabila selesai kami terus ke rumah adik akak di Perumahan Kos Rendah Bukit Payong, Kuala Terengganu. Kami akan buat nasi minyak ikut resipi Bonda Kak Maheran (Bonda Che Maheran Bt Mohammad Rais), Daging Masak Kurma, Ayam Masak Tomato dan Acar Nenas Berlada.

Bahan-bahan untuk nasi minyak dan lauk.

NASI MINYAK KAK MAHERAN (Bonda)
(Enam puluh orang makan – mewah)

7 kilogram beras
7.5 liter air
1 tin susu ideal
2 cawan minyak masak
2 cawan marjerin
1 ½ cawan minyak sapi
3 biji bawang putih }
32 biji bawang kecil } dimayang
3 inci halia - dikisar
30 kuntum cengkih
4 batang kulit kayu manis
20 kuntum bunga lawang
20 kuntum bunga pekat
1 ½ botol sos tomato del monte
Garam dan perisa – secukup rasa
Pewarna kuning telur
Kismis, biji gajus, dan kacang pis untuk hiasan.
Bawang goreng untuk ditabur.
Daun pandan – 3 -4 helai

Caranya :

Panaskan periuk – bila periuk panas masukkan minyak masak, marjerin dan minyak sapi. Bila minyak dah pijar masukkan daun pandan. Lepas itu, masukkan bawang putih, bawang merah biarkan naik bau. Bila bawang dah naik baunya masukkan halia, lepas itu, masukkan tomato dan 1 tin susu ideal dan garam dan perisa kemudiaan masukkan air biarkan sehingga mendidih. Bila air mendidih, masukkan beras yang telah ditoskan. Apabila nasi itu hampir kering, titiskan pewarna dan juga kismis, biji gajus dan kacang pis. Kemudian, tutup periuk. Selepas itu, kecilkan api.

Lebihkurang 20 minit, wap telah keluar melalui tudung periuk, kemudian kacau perlahan-lahan sehingga rata. Kemudian tudung periuk kembali. Biarlah selama 10 minit, kemudian angkat. Hidangkan dalam bekas nasi dan taburkan bawang goreng. Mmmm…enaknya.

DAGING LEMBU MUDA MASAK KURMA

Lauknya :

6 kilo daging lembu muda
1 ½ inci halia }
10 biji bawang besar } dikisar
3 biji bawang putih }
3 sudu besar cili boh
2 sudu besar Air asam jawa
1 ½ botol sos tomato del monte
1 ½ tin susu Ideal
¾ kilo bawang goreng
2 sudu besar rempah masak cap bunga
Rempah kurma – untuk 6 kilo daging
1 ½ cawan minyak masak
2 cawan marjerin
2 cawan minyak sapi
20 kuntum cengkih
4 batang kulit kayu manis
12 kuntum bunga lawang
12 kuntum bunga pekat
2 biji bawang putih }
10 biji bawang kecil } dimayang
½ inci halia }
Daun pandan – 2 -3 helai
Kismis – RM3.00
Garam, perasa dan manisan
Ubi kentang – 2 kilo

- Daging hendaklah diperapkan bersama-sama bahan yang dikisar, cili boh, air asam jawa, rempah, sos tomato beserta dengan bawang goreng- gaul-gaulkan. Biarkan selama 10 – 15 minit.

Caranya :-

Panaskan periuk, masukkan minyak sapi, marjerin dan juga minyak. Bila pijar masukkan bahan yang dimayang, bila hampir kuning masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan bunga pekat. Masukkan daun pandan. Bila naik bau, masukkan daging yang telah diperap tadi. Selepas itu masukkan susu, garam, manisan beserta dengan perasa dan tudung periuk. Bila mendidih, kacau-kacaukannya lepas itu masukkan ubi kentang. Selepas 30 minit, masukkan kismis beserta dengan 1 ½ liter air. Biarkan selama 10 minit, bila mendidih beberapa kali, bolehlah diangkat dari dapur.

Jangan biarkan tukang masak kat dapur sorang-sorang nanti habis dia makan, sedap….


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...