Semasa sedang bersembang dengan bonda Kak Mas, emak saudara Kak Mas; Che Ngah datang dan menghulurkan semangkuk dan satu bekas plastik yang dah siap di isi kerabu perut. Katanya ini untuk Ma dan yang dalam bekas untuk Kak Mas buat lauk.
Dalam keluarga Kak Mas, Che Ngah satu-satunya emak saudara Kak Mas yang mahir memasak masakan otentik. Juara dalam keluarga. Kak Mas tanya, Che Ngah dapat mana perut dan minta cara nak buat kerabu perut. Che Ngah kata kebetulan singgah rumah anaknya Maziah dan menantunya yang berikan perut kerana tahu dia suka makan kerabu perut. Katanya kalau Kak Mas nak makan tak payah susah-susah nak buat. Bawa je perut, nanti dia akan buatkan.
Ini dia resepi yang Che Ngah beri pada Kak Mas.
Bahan-bahannya:
1 kilo perut lembu direbus
4 belahan muka kelapa diparut (2 biji) - 1 disangar, 1 dibuat kerisik, 2 diambil santan.
3 batang serai yang segar
2 inci halia
12 ulas bawang merah
15 biji cili merah
2 cm belacan
2 biji limau nipis dan garam secukup rasa.
Cara-cara Membuatnya
1. 4 belahan muka kelapa diparut (2 biji) - 1 disangar, 1 dibuat kerisik, 2 diambil santan untuk hasilkan 3 - 4 cawan santan.
2. Masukkan bahan yang digiling ke dalam santan.
3. Masukkan perut dan gaulkan rata-rata, tambah garam dan gaulkan lagi.
4. Akhir sekali perah limau nipis ambil airnya gaulkan sekali.
Che Ngah kata buat lauk, kami pulak suka ratah .... tak makan nasi tak apa. Jom ratah sekali. Sekali-sekala tak apa tapi janganlah amal selalu.
No comments:
Post a Comment