Saturday, November 21, 2015

KERABU JANTUNG PISANG NANGKA

KERABU JANTUNG PISANG NANGKA

Petang itu, balik kerja dan sebaik sampai di halaman rumah dan ketika turun dari kereta. Jiran Kak Mas bernama Za terus menyapa. Za bertanya Kak Mas makan tak jantung pisang? Ialah sedap bila dicelur buat ulam dan sedap juga kalau dicicah budu. Mesti makan nasi bertambah ni.

Dia menghulurkan dua tongkol jantung pisang nangka seraya berkata; ini ja yang Za buleh bagi dulu dengan ketawa, sambil tersenyum suaminya; Di terus mencelah; ialah nak beri pisang, pisang itu hari hampir nak masak telah dikebas orang. Kak Mas turut ketawa mengenangkan kejadian pisang nangka milik jiran itu dicuri orang.

Dengan dua tongkol jantung pisang nangka itu Kak Mas bercadang untuk membuat kerabu seperti resepi ibu mertua Kak Mas ajarkan dulu. Bila siap je kerabu ni, tak sempat ke orang lain lagi, suami Kak Mas dulu ambil sepiring katanya nak rasa. Lepas rasa, rasa…. nantikan tak dan makan dengan nasi pulak.... Kak Mas sahut dari dapur.. Itu lah dia kerabu jantung pisang resepi arwah mertua.

RESEPI KERABU JANTUNG PISANG NANGKA

Bahan-bahannya;

Jantung pisang nangka – 2 tongkol
Kepala Santan - sebelah kelapa
Ikan Bilis - segenggam
Halia - seinci
Bawang Merah - 6 ulas - mayang
Lada Jarum - 6 biji atau lebih.
Limau nipis/kasturi - 3 biji Kerisik - 4 sudu besar
Daun kemangin - dua tangkai.

Cara Membuatnya:
1. Bersihkan jantung pisang, buang beberapa lapis yang bersabut dan ambil bahagian tengah yang lembut.
2. Hiris kecil-kecil (racik) dan celur dalam air yang sedang panas mengelegak dan masukkan garam secubit.
3. Setelah masak, angkat dan toskan air dengan menggunakan penapis sayur seketika.
4. Basuh ikan bilis, toskan.
5. Campurkan ikan bilis, bawang merah, dan lada jarum dan tumbuk dalam lesung.
6. Selepas itu, gaulkan dalam mangkuk salad. Campuran yang ditumbuk itu digaul bersama jantung pisang, kerisik dan halia yang dihiris memanjang halus. Tuang santan pekat dan gaulkan.
7. Setelah semua di gaul sebati … lurutkan daun kemangin dua tangkai. Harum semerbak.
8. Perah limau nipis/ kasturi. Hiaskan dengan hirisan lada.

Kalau tawar, tabur sikit garam... kadangkala bilis dah masin dan tak perlu tambah garam.


No comments:

Post a Comment

google.com, pub-5229426821154127, DIRECT, f08c47fec0942fa0