Sunday, May 27, 2018

Gulai Ikan Talang Masin Masak Lemak Nenas

Dah 2 hari, sebiji nenas terletak di atas meja di dapur. Kak Mas mulanya belum ada cadangan lagi untuk buat apa, buat jeruk, sesekali fikir nak buat jem untuk kuih tart nenas, tapi tak cukup kalau nak buat sedikit boleh je. Atau buat acar masak untuk makan waktu berbuka. Mmm ... sebaik buka peti sejuk baru teringat ikan talang masin yang disimpan berbungkus dalam bahagian sayur.

Hah... dah dapat idea. Santan ada ... elok sangat. Masak Lemak cili merah versi Tok Su.

Bahan-bahannya:

1 biji nanas - dengan pisau tajam - dikupas buang kulit dan ditarah silang buang duri. Kemudian dihiris-hiris berpetak.
1 ekor ikan talang masin - dibersihkan dan direndam 25 minit dan ditoskan.
2 batang serai diketuk
3 helai daun kunyit muda yang disiat-siat
2 keping asam keping / gelugur
1 kotak santan segera.
Garam dan gula secukup rasa.

Bahan-bahan untuk dikisar halus:

6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 ulas cili merah
15 ulas cili api - nak pedas tambah aje
1 inci kunyit hidup
1/2 inci lengkuas

Cara-cara Membuatnya:

1.   Masukkan 2 gelas air. 
2.   Masukkan bahan yang dikisar ke dalam periuk dan masak sehingga bawang benar-benar masak. 
3.   Setelah air tinggal kurang separuh, masukkan ikan masin gaul sekejap, lepas itu barulah dimasukkan nanas, kacau hingga nanas separuh empuk.
4.   Tambah sedikit air, kalau perlu.
5.   Masukkan asam keping / gelugur dan tuang santan pekat. Kacau perlahan.
6.   Masukkan daun, masakkan sekejap hingga mendidih dan padam api.
7.   Rasa kemasinannya. Tambahkan garam jika  perlu dan gula mengikut citarasa anda.

Apa lagi, dah boleh makan. Nanas kalau buang duri tak habis memang tak best. Santan kalau dimasukkan terlalu awal, nanti naik minyak.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...