Friday, November 19, 2010

Rendang Ayam (Kak Mas)




Malam raya, Kak Mas menyediakan masakan rendang ayam bersama dengan ketupat nasi untuk sarapan di pagi Raya Aidil Adha dan rendang ini dibawa sedikit ke rumah mak Kak Mas di Paloh. Kebiasaannya Kak Mas masak rendang daging tapi kali ini masak rendang ayam pulak, maklumlah mak Kak Mas tak makan rendang daging.

Rendang ini tak sampai tengahari pun dah habis dimakan bersama ketupat, kali ini Kak Mas buat sedikit saja. Kalau adik-adik nak cuba rendang daging, resipinya sama saja.


Manakala anak Kak Mas pula membuat kek coklat dengan toppingnya sekali..memanglah sedap, selepas makan rendang tu, kita makan pencuci mulut pula.

Masakan ini memang kesukaan keluarga Kak Mas, terutamanya sekali anak sulong Kak Mas tapi dia tidak dapat beraya bersama kerana pergi belajar di luar negara. Insya’allah kalau dia ada kelapangan di tahun depan baru dapat balik, bolehlah Kak Mas sediakan masakan ini.

Cubalah…best tau..sampai menjilat jari.

Rendang Ayam
(Kak Mas
)

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam (1 ½ kilo)
3 ulas bawang putih }
3 biji bawang besar }
10 biji bawang kecil }
5 biji lada kecil } dikisar
2 ½ inci lengkuas }
1 ½ inci kunyit }
1 inci halia }
2 batang serai }
3 sudu besar cili boh
2 keping asam keping
1 peket rempah kari daging
1 biji kelapa – dibuat kerisik
1 biji kelapa – santan pekat
½ cawan minyak masak
3 – 4 helai daun limau purut
4 helai daun kunyit - dimayang

Perisa - garam, gula dan manisan (mengikut selera)



Caranya :-

1. Bahan yang dikisar tadi hendaklah dicampur dengan rempah dan cili boh. Selepas itu panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumiskan bahan yang digaul sehingga naik pijar

2. Selepas itu masukkan ayam dan bersekali dengan kerisik, asam keping dan daun limau purut ke dalam kuali. Biarkan selama 1 hingga 1 ½ jam dengan api yang perlahan, kacaulah selalu.

3. Akhirnya masukkan daun kunyit dan santan, biar sampai kering. Bahan perisa mengikut selera masing-masing. Masakan ini memakan masa selama 3 jam.

4. Bila sudah masak terus dihidang bersama dengan ketupat atau lemang.






Sunday, November 14, 2010

Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas

Hari minggu yang lepas hujan lebat sekali, maklumlah dah mula masuk musim tengkujuh. Kakak sekeluarga pergi ke Pasar Manir untuk membeli ikan Patin. Dapat jugak rasa ikan fresh. Peniaga yang jual tu siap menyiang ikan tu sekali.

Suami kakak sangat menyukai masakan Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas.

Bila pulang ke rumah, kakak terus ke dapur dan menyediakan bahan-bahan untuk memasak ikan ini. Masakan ini sangat sesuai dimakan bersama-sama sayur kangkung goreng sambal belacan.

Cubalah masakan ikan..sedap tau.. cuba jangan tak cuba..cukup mudah dimasak.

Satu lagi bila beli ikan patin yang hidup dan segar, jangan dibuang insangnya... kepada yang gemar insangnya seperti ikan tenggiri. Boleh dimakan.


Ikan Patin Masak Singgang Asam Pedas

Bahan-

1 ekor Ikan Patin – (800 gram)
3 biji bawang besar }
3 biji bawang putih }
2 inci kunyit basah } - dikisar
2 inci halia }
3 biji lada besar }
3 inci lengkuas }
2 -3 biji cili api }
1 sudu besar cili boh
4 keping asam keping
¼ sudu kecil belacan
4 cawan air
10 tangkai daun kesum

Bahan perisa

Garam dan Msg – mengikut selera

Caranya:-

1. Bahan yang dikisar tadi dicampur dengan cili boh, asam keeping, air, belacan dan daun kesum beserta dengan ikan patin ke dalam periuk.

2. Lepas itu masukkan bahan perasa. Biarkan masakan tadi mendidih hingga kering sedikit airnya selama ½ jam.

3. Bila masak, terus dihidang bersama sayur kangkung goreng sambal belacan.

Friday, November 12, 2010

Pisang Gala Pemberian Mak Nah

Hari ini, akak terasa sunyi dan mulalah melayari internet, lalu membuka halaman blog akak yang dah lama akak tidak mengemaskini blog masakan akak. Terlebih dahulu akak meminta maaflah kepada semua teman blog akak ni, maklumlah terlalu lama akak tinggalkan blog ini dan sekarang baru akak cuba masukkan resepi akak semula. Insya’allah akak akan kongsikan resepi ini untuk teman-teman semua.

Pada suatu petang semasa pulang ke rumah, suami akak melihat jiran sedang menebang sebatang pokok pisang gala yang sedang berbuah muda dan sesuai untuk dibuat acar. Lalu beliau bertanya pada jiran itu, boleh tak bagi kepadanya pisang gala tu, maklumlah acar pisang memang kesukaannya. Jiran akak pun bagilah setandan pisang itu kepada suami akak. Pada masa itu, akak sedang memasak untuk makan malam. Apa lagi dia pun suruh akak masak acar pisang gala untuk dimakan pada malam itu. Memang berselera sekali suami akak makan.

Rasailah resepi akak yang tradisional ni. Cubalah..

Masak Acar Pisang Gala

Bahan-

10 biji pisang gala - dicelur
5 biji bawang besar }
3 biji bawang putih } - dikisar
2 inci halia }
5 biji lada besar }
3 sudu besar cili boh
2 sudu besar air asam jawa
2 biji bawang putih }
5 biji bawang merah } - dimayang
1 ½ inci halia }
½ botol cuka
½ cawan minyak masak

Bahan perisa

Manisan, gula dan garam – mengikut selera

Caranya:-

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak.
2. Masukkan bahan yang dimayang ke dalam kuali sehingga warna keemasan dan selepas itu masukkan bahan yang dikisar bersekali dengan cili boh sehingga pijar. Masukkan air asam jawa.
3. Apabila bahan tadi betul-betul masak masukkan bahan perisa dan juga cuka.
4. Akhir sekali masukkan pisang yang telah ditoskan tadi.
5. Kalau nak Nampak cantik dan serinya masakan masukkan bawang besar yang dibelah 4 dan juga cili hidup untuk hiasan.

Nota:

Sebelum pisang dicelur selama 20 minit – pisang hendaklah dipotong halus yang tak putus.

Tuesday, June 8, 2010

BISKUT BANGKIT

Bahan-bahannya:


1 mangkuk telur ayam
1 mangkuk gula 
2 mangkuk tepung ubi
1 1/2 cawan tepung ubi jagung
2 biji kelapa parut - ambil santan tanpa tambah air

Cara-cara Membuatnya:

1.   Pukul telur hingga kembang dan tapis dengan kain muslin.
2.   Tepung ubi dan tepung jagung  yang telah diayak dicampur bersama telur dan santan.
3.   Uli hingga lembut dan masukkan ke dalam acuan. (Guna seperti acuan putu).
4.   Keluarkan dari acuan dan bakar sampai masak.

Saturday, May 29, 2010

Nasi Tomato Ayah Ku

Bahan-bahannya;

2 cawan beras (kosek, basuh dan toskan)
1/2 cawan Ghee Blend (minyak sapi)
2 siong bawang putih - dimayang
1/2 cawan bawang merah - dimayang
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 inci kulit kayu manis
1 biji buah pelaga 
2 1/4 cawan air
1 cawan sos tomato Del Monte
1/4 cawan susu cair Ideal

Cara-Cara Membuatnya

1.   Panaskan minyak sapi Ghee Blend dan goreng bawang.

2.   Masukkan bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis, buah pelaga, goreng hingga naik bau.

3.   Masukkan beras, air, susu dan garam dan biarkan hingga mendidih.

4.   Bila nasi hampir masak, gaulkan sos tomato dan biarkan nasi masak.

5.   Hidangkan dengan ayam goreng, potongan telur rebus, hirisan bulat karot, bawang goreng dan daun bawang.





Friday, May 28, 2010

Kerabu Perut Che Ngah

Petang semalam, Kak Mas pergi ke rumah bonda yang tinggal di Kampung Paloh Sungai Kiat, Kuala Terengganu. Rumah bonda Kak Mas berdekatan dengan tempat urut 3 beradik yang popular di Terengganu, segenap pelusuk rantau orang datang berurut di situ termasuk dari luar negara juga.

Semasa sedang bersembang dengan bonda Kak Mas, emak saudara Kak Mas; Che Ngah datang dan menghulurkan semangkuk dan satu bekas plastik yang dah siap di isi kerabu perut. Katanya ini untuk Ma dan yang dalam bekas untuk Kak Mas buat lauk.

Dalam keluarga Kak Mas, Che Ngah satu-satunya emak saudara Kak Mas yang mahir memasak masakan otentik. Juara dalam keluarga. Kak Mas tanya, Che Ngah dapat mana perut dan minta cara nak buat kerabu perut. Che Ngah kata kebetulan singgah rumah anaknya Maziah dan menantunya yang berikan perut kerana tahu dia suka makan kerabu perut. Katanya kalau Kak Mas nak makan tak payah susah-susah nak buat. Bawa je perut, nanti dia akan buatkan. 

Ini dia resepi yang Che Ngah beri pada Kak Mas.

Bahan-bahannya:

1 kilo perut lembu direbus
4 belahan muka kelapa diparut (2 biji) - 1 disangar, 1 dibuat kerisik, 2 diambil santan. 
3 batang serai yang segar
2 inci halia
12 ulas bawang merah
15 biji cili merah
2 cm belacan
2 biji limau nipis dan garam secukup rasa.

Cara-cara Membuatnya

1.   4 belahan muka kelapa diparut (2 biji) - 1 disangar, 1 dibuat kerisik, 2 diambil santan untuk hasilkan 3 - 4 cawan santan.
2.   Masukkan bahan yang digiling ke dalam santan.
3.   Masukkan perut dan gaulkan rata-rata, tambah garam dan gaulkan lagi.
4.   Akhir sekali perah limau nipis ambil airnya gaulkan sekali.

Che Ngah kata buat lauk, kami pulak suka ratah .... tak makan nasi tak apa. Jom ratah sekali. Sekali-sekala tak apa tapi janganlah amal selalu.
google.com, pub-5229426821154127, DIRECT, f08c47fec0942fa0